Makluman

Info Semasa

....

WADAH meminta Kerajaan Memperhalusi cadangan Biasiswa Nasional

by Portal WADAH Kelantan | 11:30 PG in |

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) meminta kerajaan memperhalusi cadangan Biasiswa Nasional yang bakal menyaksikan pengagihan biasaswa berdasarkan 100 peratus merit dan bukan lagi berasaskan kaum. Usaha mengkaji dan memperhalusi cadangan ini perlu bagi memastikan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan terus dipertahankan.

Wadah meminta kerajaan memberi perhatian yang serius terhadap ketidakseimbangan yang wujud antara bandar dan luar bandar, antara Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak dan antara kelompok berpendapatan tinggi dan golongan miskin di bandar-bandar. Masing-masing mempunyai perbezaan yang ketara dari segi pendapatan dan taraf hidup, persekitaran dan kemudahan pembelajaran. Semua ini akan memberi kesan yang berbeza ke atas prestasi pelajar-pelajar.

Sekiranya pemberian bantuan dan biasiswa berasaskan merit semata-mata, maka sebilangan besar mereka yang berada di luar bandar, di pendalaman Sarawak dan Sabah serta golongan miskin di bandar-bandar akan terkeluar dari senarai mereka yang mendapat peluang biasiswa ini, kerana sering kali prestasi akademik kelompok ini relatif lebih rendah.

Wadah percaya sekiranya aspek-aspek ini tidak diberi perhatian, akan tercetus ketidakpuasan hati dan keresahan dalam masyarakat yang boleh bertukar menjadi konflik baru yang mengganggu kesejahteraan dan keharmonian hidup.

Kerajaan juga seharusnya menghormati Fasal 153 (2), Perlembagaan Malaysia yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agung bagi melindungi kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk soal yang berkaitan dengan biasiswa.

http://wadah.org.my/kenyataan-media/24-info-wadah.html

Muktamar Nasional WADAH

by Portal WADAH Kelantan | 11:28 PG in |

Alhamdulillah, Muktamar Nasional ke-3 WADAH telah selamat berlangsung pada 28 Jun 2009 yang lalu di Kolej Dar al Hikmah. Dato’ Dr Siddiq Fadhil, Presiden WADAH telah menyampaikan Amanat Pimpinan bertajuk “Menangani Politik Perubahan dan Perubahan Politik” yang akan menjadi panduan dalam gerakerja WADAH untuk tiga tahun akan datang.

Sempena dengan Muktamar ini juga sidang seminar telah turut diadakan. Empat pembentang kertaskerja telah membentangkan dua tajuk yang amat menarik perhatian Perwakilan dan Pemerhati Muktamar pada kali ini iaitu “Dakwah dan Cabaran Masakini" dibentangkan oleh Dr Muhammad Nur Manuty dan Sdr Ahmad Azam Abdul Rahman. Kedua-dua mereka adalah mantan Presiden ABIM dan kini menjadi Pimpinan Kanan WADAH. Manakala Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Prof Madya Shaharuddin Badaruddin pula membentangkan kertaskerja bertajuk “Menangani Perubahan Politik”.

Muktamar pada kali ini adalah merupakan tahun pemilihan. Dato’ Dr Siddiq Fadzil telah sekali lagi dipilih untuk menerajui WADAH. Begitu juga dengan jawatan Setiausaha Agung kekal disandang oleh Haji Abdul Halim Ismail. Pemilihan pimpinan WADAH dibuat tiga tahun sekali.

Pimpinan Utama WADAH yang baru dilantik


Mesyuarat Ahli Majlis UNIW di Casabalanca

by Portal WADAH Kelantan | 11:26 PG in |


Pemimpin-peminpin NGO dari seluruh dunia yang hadir telah mengadakan beberapa pertemuan dengan NGO tempatan. Di samping itu mereka juga dibawa melawat tempat-tempat menarik di sekitar Casablanca seperti Masjid Hassan II.

Memandangkan ini adalah kali pertama NGO dari Morocco iaitu Mehdi Ben Aboud Foundation terpilih menjadi tuan rumah kepada persidangan NGO-NGO Islam dari seluruh dunia, Penasihat kepada Raja Morocco, Prof. Dr. Abbas Jirani telah berbesar hati meraikan para ahli mesyuarat pada satu majlis di rumah tetamu kerajaan. Pada majlis ini beliau telah diberikan taklimat mengenai UNIW, peranan dan aktiviti yang telah dijalankan sejak penubuhan nya pada tahun 2005 di Istanbul.

Haji Ahmad Azam dan juga Haji Abdul Halim Ismail turut sempat membuat kunjungan hormat kepada Duta Malaysia di Morocco, TYT Dato' Othman Samin.

Haji Ahmad Azam bersama Duta Malaysia (2 dari kiri)

Demi Masa

Taqwim Hijri